-The 99 Beautiful Names of Allah-

Hanya padaMu


Perjalanan kehidupan yang dilalui banyak mengajar erti cinta kepada kita. Hubungan cinta sesama insan yang meminta balasan biasanya akan berakhir dengan kebencian apabila balasan yang diharapkan itu tidak diperolehi. Suami isteri yang saling cinta menyintai akan berubah menjadi saling membenci jika ada penyelewengan daripada salah seorang yang curang. Begitu juga antara sahabat yang berkasih sayang, setiap kesalahan demi kesalahan dalam perhubungan mereka akan menjadi dendam yang mencalari hati masing-masing. Cinta anak kepada ibu bapanya sedikit sebanyak akan terhakis kerana komitmen yang harus diberi kepada isteri dan anak-anak. Tragedi demi tragedi yang menyimpan kepiluan di hati kerana kehilangan cinta membuat hamba yang beriman sedar bahawa cinta yang abadi hanya kepada Allah SWT. Dia tidak pernah sekalipun meninggalkan kita bersendirian, Dia sentiasa mendengar dan memerhati segala gerak bahkan lintasan hati manusia. Kerana cinta-Nya, kita hidup untuk menikmati keindahan dan kurnia kebahagiaan. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
”Sesungguhnya Allah SWT mempunyai seratus rahmat dan Dia menurunkan satu rahmat untuk jin, manusia, binatang dan serangga. Dengan satu rahmat itu semua makhluk saling menyayangi dan binatang buas mempunyai rasa kasih sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat yang sembilan puluh sembilan lagi, Allah menyimpannya untuk diberikan pada hari kiamat sebagai wujudnya rasa sayang terhadap hamba-hamba-Nya. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Cinta kepada Allah bukan hanya menjanjikan kebahagiaan. Ia juga akan melahirkan peribadi yang memiliki kekuatan dan keberanian yang maha hebat dalam menghadapi ujian di dunia. Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya:
”Apabila Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).
Sebagaimana Ibrahim AS yang meredah lautan api, Muhammad SAW pula hidup dikelilingi musuh yang mahu membunuhnya. Para sahabat baginda rela bertaruh nyawa demi cinta kepada Rabbul ’Alamin. Sejarah telah mencatatkan kata-kata sakti seorang sahabat Rasulullah SAW, Mush’ab bin Umair ketika dipaksa untuk meninggalkan agama Allah SWT oleh bondanya yang hendak membunuh diri untuk memaksanya murtad. Beliau berkata: ”Wahai ibu, jika ibu memiliki seratus nyawa sekalipun, dan nyawa itu keluar dari jasadmu satu persatu aku tetap beriman kepada Tuhanku.” Begitulah jika Al-Rahman telah mencurahkan cinta-Nya pada seorang insan. Mush’ab mengajar kita untuk meninggikan cinta kepada Allah pada darjat tertinggi melebihi dari yang lain. Ada tiga cara yang telah dilalui oleh orang-orang pilihan Allah untuk mendapatkan cinta-Nya yang abadi.
Menyucikan Hati.
Pandangan Allah SWT jatuh pada hati kita. Jika anda mahukan pandangan rahmat-Nya maka bersihkanlah hati. Rasulullah SAW bersabda:
”Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badanmu dan tidak pula kepada rupa parasmu, tetapi Dia memandang kepada hatimu dan amalanmu.”(Hadis riwayat Muslim)
Hati yang suci dari dosa dan maksiat berhak mendapatkan cinta Allah. Dari hati seperti inilah akan lahir amal perbuatan yang baik. Jika anda berasa malas beribadat atau ragu-ragu melakukan ajaran agama, itu adalah tanda hati anda tidak sihat. Dalam bermuamalah dengan manusia, elakkan menyimpan dendam dan dengki serta penyakit-penyakit hati yang lain. Kesimpulannya, hati yang suci dan sihat adalah hati yang selamat apabila berhubungan dengan Allah dan juga dengan sesama manusia. Firman Allah SWT:
”Akan ditimpa kehinaan kepada kamu manusia di mana saja kamu berada melainkan mereka menjaga hubungan dengan Allah dan menjaga hubungan dengan manusia. (Surah Ali Imran: Ayat 112).
Milikilah cinta Ilahi dengan berkasih sayang kepada sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis qudsi: Allah SWT berfirman:
”Sesungguhnya cinta-Ku adalah bagi orang-orang yang saling mencintai kerana mengharap keredaan-Ku.” (Hadis riwayat Imam Malik dalam al-Muwattha’ dengan sanad yang sahih)
Sentiasa dekat dengan-Nya.
Apabila cinta sudah jatuh di hati yang bersih, maka ingatlah kepada-Nya di mana saja anda berada. Tumpuan perhatian-Nya ada pada diri kita. Keagungan Allah SWT sentiasa menjadi lamunan dan sumber inspirasi. Nama-Nya melakar fantasi akal dan menghias keindahan pada mimpi dan realiti. Allah SWT hadir pada setiap gerak langkah, ibadah bertambah khusyuk dan perbuatan baik kepada sesama manusia semakin tulus. Apa saja yang dilakukan adalah demi keredaan-Nya. Janji-janji sentiasa disanggupi dengan keikhlasan, baik buruk keadaan semuanya dijalani dengan kerelaan kepada sang kekasih Rabbul ’Izzati.
Rasulullah SAW bersabda:
”Allah berfirman, Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku sentiasa bersamanya selama ia mengingati-Ku. Demi Allah. Allah lebih gembira menerima taubat hamba-Nya melebihi gembiranya seseorang di antara kalian yang menemukan kembali barangnya yang telah hilang di tengah padang pasir. Barangsiapa yang mendekat pada-Ku sejengkal, maka Aku mendekat kepada-Nya sehasta, barangsiapa yang mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa dan apabila ia datang kepada-ku berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ingatan dan pujian kepada Allah SWT belumlah cukup untuk menunjukkan kebenaran cinta kita. Ada satu syarat yang mesti dilakukan agar kita sentiasa berdamping dengan-Nya. Sepertimana sabda Rasulullah SAW; Allah SWT berfirman:
”Tidak ada yang paling Aku sukai daripada amalan hamba-Ku iaitu apabila ia mengerjakan apa yang telah Aku wajibkan kepadanya. Dan seseorang yang sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunnat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya maka Aku adalah pendengaran yang dengannya ia mendengar. Dan penglihatan yang dengannya ia melihat, Akulah tangannya yang dengannya ia meraih sesuatu dan Akulah kakinya yang dengannya ia berjalan. Apabila ia memohon kepada-Ku nescaya Aku mengkabulkannya dan jika ia berlindung kepada-Ku Aku pasti melindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kedudukan seseorang di sisi Allah SWT bergantung dengan ibadat yang dilakukannya dengan ikhlas, semakin banyak ia beramal semakin kasih Allah SWT kepadanya. Jika kita bersedih kerana kurang merasai cinta Allah SWT dan semakin jauh dari rahmat-Nya mungkin kerana kualiti ibadat kita telah merosot oleh kesibukan dunia dan lalai yang berpanjangan. Perbaikilah diri dan kembalilah merapatkan diri kepada Allah SWT dengan ibadat wajib dan sunnat.
Setia Pada Janji
Cinta yang tidak pernah berubah hingga ke akhir hayat adalah cita-cita setiap pasangan yang berkasih. Setiap ujian mampu diharungi dengan sabar. Begitu juga pembuktian cinta kepada Allah SWT yang menagih pengorbanan hamba-hamba-Nya. ”Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Penguasa alam semesta.” Janji ini menjadi penawar di hati seorang hamba, reda meredah setiap ujian kehidupan atas nama qadha dan qadar-Nya. Firman Allah SWT:
”Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu mencintai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Cinta kepada-Nya tidak pernah luntur dalam setiap keadaan, susah atau senang sentiasa setia dengan janji yang diikrarkan hingga kembali kepada-Nya. Hayatilah doa di bawah ini, semoga kita semua dikurniakan cinta yang sejati di dunia dan akhirat.
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku dari apa-apa yang aku cintai maka jadikanlah ia sebagai kekuatan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa saja yang Engkau singkirkan dari apa-apa yang aku cintai maka jadikanlah ia keredhaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai. Ya Allah jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling kucintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk di saat kehausan. Ya Allah jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-malaikat-Mu, rasul-rasul-Mu dan hamba-hamba-Mu yang salih. Ya Allah hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai. Ya Allah jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredaan-Mu.” (Hadits Al-Tirmidzi dalam Jami’ al-Sahih, Rasulullah SAW bersabda: Inilah antara doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud AS)
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

 Tiga perkataan yang nampak seakan sama untuk diterjemahkan, namun jika diteliti membawa kepada pengertian yang sangat berbeza. Pengertian tiga perkataan ini memberikan makna yang sangat mendalam untuk difahami. Emosi dan tindakan juga sebenarnya menggambarkan bahawa kasih, sayang dan cinta mempunyai perbezaan walaupun sedikit.


Kasih..
Kita sering mengucapkan kalimah basmalah yang membawa maksud “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”. Allah SWT sebenarnya sangat mengasihi kita sebagai hambaNya. Dan jika kita halusi mengapa Allah SWT mengasihi manusia sudah tentu hanya kerana Allah SWT mempunyai belas kasihan terhadap hambaNya. Rasa kasih sebenarnya terselit rasa belas kasihan terhadap seseorang. Begitu juga Allah SWT mengasihi kita selayaknya kerana kita lemah dan perlu dikasihani.
Dalam hubungan sesama manusia, kasih kadang-kadang menjadi titik bermulanya rasa sayang dan seterusnya rasa cinta. Dari kasihan akan terbit rasa sayang yang begitu kuat. Sebab itu dalam Bahasa Melayu perkataan kasih selalunya digabungkan sekali dengan perkataan sayang. Jadi tidak hairanlah mengapa Rasulullah sendiri berkahwin dengan isteri-isterinya yang banyak kekurangan. Rasa belas kasihan kerana tidak mampu melihat kesusahan wanita-wanita yang kehilangan suami kerana syahid telah mengangkat baginda untuk menyayangi dan mencintai mereka sebagai isteri.

Sayang..
Perkataan yang sukar untuk dibezakan dan diterjemahkan terutama dalam hubungan perasaan sesama manusia. Menyayangi seseorang belum tentu mencapai tahap mencintai kerana menyayangi lebih luas skopnya berbanding mengasihi. Anda mungkin menyayangi sahabat anda, keluarga anda, guru anda atau sesiapa sahaja. Tetapi berbeza jika anda mengatakan bahawa anda menyayangi isteri anda. Kerana rasa sayang kepada isteri sebagai teman hidup memberikan maksud anda mencintai pasangan anda sedalam-dalamnya.
Namun fahamilah, sebenarnya rasa sayang sudah memadai untuk anda melihat pengorbanan yang bakal dilakukan oleh orang yang menyayangi anda. Pengorbanan yang mungkin dilakukan luar dari kebiasaan emosi manusia. Rasa sayang akan memberikan kesan yang berpanjangan sama ada anda sebagai orang yang menyayangi dan disayangi kerana rasa akan dapat dihalusi wujudnya keikhlasan dalam setiap tindakan yang dilakukannya. Keikhlasan inilah yang akan memberikan rasa sayang berpanjangan dan terus mendoakan kebahagiaan untuk orang yang tersayang.

Cinta..
Percintaan sudah tentu dikaitkan dengan rasa kasih sayang. Menggambarkan bahawa bila menyebut cinta sudah tentu akan ada rasa kasih dan sayang kepada seseorang. Bila mencintai seseorang, tersiratnya anda mempunyai rasa sayang yang ikhlas dan menerima diri pasangan anda seadanya. Anda hanya memikirkan dirinya, perkongsian hidup bersama dan juga kebahagiaan masa depan bersama.
Cinta terlalu kompleks untuk dihuraikan. Kerana cinta membawa pelbagai istilah yang memberikan maksud yang berbeza. Dalam satu pepatah arab, mendefinisikan cinta itu pekak dan buta. Rasa cinta yang terlalu mendalam akan memekakkan telinga untuk kita menerima segala nasihat daripada orang lain. Segala keputusan kebanyakannya diputuskan sendiri. Cinta juga akan membutakan mata untuk melihat kelemahan-kelemahan pada diri orang yang dicintai sekalipun nampak jelas di mata orang lain.
Cinta mampu memberikan rasa gembira kepada pasangan, tetapi cinta juga memberikan luka yang sukar untuk diubati. Cinta membahagiakan bila berjaya hidup bersama pasangan dan sangat memedihkan bila gagal. Itulah kelebihan dan kelemahan cinta. Kerana pengertian cinta selalunya disandarkan hanya pada manusia. Manusia tidak sempurna. Jika pengertian cinta ini disandarkan pada Allah Yang Esa, sudah pasti tidak akan wujud istilah putus cinta.

P/S PDH : Serahkan masamu hanya untuk Allah, pasti Allah akan uruskan masa hidupmu dengan sebaiknya. Serahkan hatimu dan cintamu untuk Allah, pasti DIA akan berikan hati dan cintamu kepada pemilik yang sebenar…